WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melancarkan sebuah roket ke Kutub Utara dalam misi membongkar ‘kejadian ganjil’ yang kerap berlaku di rantau tersebut, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Kejadian aneh itu mencetuskan gangguan kepada isyarat radio, memperlahankan pergerakan kapal angkasa, bahkan melanggar hukum fizik.
Ia berlaku setiap hari sekitar waktu tengah hari di mana terdapat sebuah ‘lubang’ terbuka pada medan magnet di langit tepat di atas Kutub Utara.
Selama 20 tahun, kejadian itu menyebabkan gangguan kepada isyarat radio dan sistem pengesanan global (GPS) selain memperlahankan pergerakan kapal angkasa.
Menerusi misi dinamakan CREX-2 itu, NASA akan menyiasat lubang tersebut yang membolehkan angin solar berbahaya memasuki atmosfera Bumi.
“Pada jarak kira-kira 402 kilometer (km) di atas Bumi, kapal angkasa berasa seperti berat dan seolah-olah sedang menyeret beban atau seperti melanggar bonggol, menyebabkan kelajuannya berkurang,” kata pakar fizik dan penyiasat misi CREX-2 NASA, Mark Conde.
Tambah Conde, semasa misi CREX – 2, roket tersebut akan ‘menembak’ keluar 20 tong bahan api jet yang akan membebaskan wap bercahaya di langit.
Tujuannya adalah supaya bahan api tersebut dapat menghasilkan lakaran pada udara serta memberi gambaran bagaimana udara bergerak di kawasan kutub tersebut bagi merungkai fenomena itu.
“Kami mempunyai masa kira-kira sejam atau dua jam setiap hari untuk waktu yang sesuai bagi melakukan eksperimen ini,” tambah Conde.
Sepanjang misi tersebut, kumpulan saintis dan pelajar akan ditempatkan di serata Iceland, Svalbard rantau Scandinavia lain bagi merakam gambar ‘pertunjukan cahaya’ tersebut. – AGENSI