JOHOR BAHRU – Wanita yang disyaki mendera anak lelaki berusia lima tahun sehingga mati dalam kejadian di Taman Nusa Bistari, Iskandar Puteri dekat sini Jumaat lalu tidak pernah mendaftarkan perkahwinannya walaupun telah banyak kali mendirikan rumah tangga.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan ke atas wanita yang berusia 35 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di Singapura itu turut mendedahkan mempunyai lapan orang cahaya mata.
“Wanita itu sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci di Singapura. Difahamkan, wanita itu sudah banyak kali berkahwin tetapi tidak mendaftarkan perkahwinannya.
“Hasil perkahwinan itu, wanita itu mempunyai lapan orang cahaya mata,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Ayob Khan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes dera itu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, wanita dan lelaki berusia 32 tahun itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
“Mereka direman selama tujuh hari sehingga 10 Disember ini. Selain pasangan kekasih itu, tiada tangkapan lain dibuat.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan kekasih ibunya sejak Jun lalu di rumah sewa mereka di Taman Nusa Bistari, dekat sini.-K! ONLINE