TURIN – Gergasi Serie A, Juventus dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak penyerang utama pasukan itu, Paulo Dybala.
Difahamkan, Dybala yang akan tamat kontrak pada Jun tahun depan, dikatakan bersetuju secara lisan untuk kekal bersama The Old Lady sehingga 2026.
Menurut laporan dua media Itali, Calciomercato dan La Gazzetta dello Sport, penyerang sensasi Argentina berusia 28 tahun itu akan menurunkan tandatangannya sebaik sahaja ejennya, Jorge Antun kembali ke Itali selepas ini.
Perjanjian baharu itu bakal menyaksikan Dybala menerima bayaran gaji sebanyak €8 juta setahun (RM38.3 juta) termasuk tambahan bonus €2 juta (RM9.57 juta) sekali gus menjadikan dia sebagai pemain kedua dengan pendapatan tertinggi di Juventus.
Tonggak pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt ketika ini adalah penerima bayaran gaji termahal di Juventus iaitu €8 juta setahun (RM38.3 juta) beserta bonus €4 juta (RM19.15 juta).
Peningkatan prestasi ditunjukkan Dybala musim ini adalah salah satu faktor Juventus bersetuju untuk menawarkan kontrak lanjutan kepada pemain itu yang turut menjadi buruan banyak kelab di Eropah.
Sebagai rekod, Dybala sudah meledak empat gol dalam saingan Serie A musim ini termasuk satu jaringannya membantu Juventus menewaskan Salernitana 3-0 pada Rabu lalu.
Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri pastinya mengharapkan prestasi sama daripada Dybala menjelang aksi Serie A seterusnya menentang Genoa di Stadium Juventus awal pagi esok. – AGENSI