SUNGAI PETANI – “Selepas ini saya tidak lagi dapat merasai dipeluk dan dicium ayah setiap kali mahu ke sekolah selain dibawa bersiar-siar seperti dahulu.”
Demikian luah Danish Hakimi Mohd. Nasri, 12, sambil menangis teresak-esak selepas kehilangan bapanya, Mohd. Nasri Ismail, 46, yang meninggal dunia akibat sakit sesak nafas kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.
Kisah duka kanak-kanak dari Kampung Padang Kubu, Simpor Besar, dekat sini itu bermula 10 tahun lalu apabila ibunya Rodziah Ismail, 43, meninggal dunia pada 2013 kerana kekurangan sel darah putih dalam badan (leukopenia).
Setahun kemudian Danish kehilangan pula kakaknya, Nureen Natasya, yang ketika itu berusia lapan tahun dan menjadi teman sepermainannya akibat penyakit sama dan sejak itu dia hanya hidup berteman bapa.
“Selepas ibu dan kakak meninggal dunia, saya hanya mempunyai ayah untuk bermanja dan berharap kehidupan kami akan bahagia selamanya.
“Tidak sangka harapan saya itu turut berkecai selepas ayah pula ‘pergi’ semalam. Kini kehidupan saya terasa kosong,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Danish, lebih menyedihkan bapanya yang merupakan kakitangan Majlis Daerah Sungai Petani Kedah (MPSPK) meninggal di hadapannya.
“Rumah kami terletak bersebelahan rumah nenek, pada pukul 12 tengah malam bapa mengadu sesak nafas.
“Bapa kelihatan tidak sihat dan sering mengadu penat sejak Oktober lalu. Saya sempat memberinya ubat sebelum dia rebah dan meninggal dunia. Saya jadi yatim piatu sekelip mata,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Simpor di sini itu.
“Saya sangat sedih, hilang kata-kata kerana tiada lagi tempat bermanja kerana cuma ditemani bapa selama ini,” katanya.
Menurut neneknya, Darisah Darus, 75, dia akan mengambil alih tanggungjawab menjaga Danish Hakimi selepas ini kerana sayangkan cucunya tambahan lagi selepas kematian bapanya.
“Saya akan menjaganya seperti anak sendiri bagi menghilangkan kesedihannya bergelar yatim piatu pada usia semuda ini.
“Lagi pun dia manja dan rapat dengan saya kerana tinggal bersebelahan sejak kecil,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0219-0410-0004-1161 atas nama Darisah atau menghubungi talian 017-468 4741.