LONDON – Pengurus Aston Villa, Steven Gerrard enggan memandang rendah kemampuan Brendan Rodgers sebagai bekas pengurusnya ketika kedua-duanya membawa cabaran di Liverpool sebelum ini.
Kedua-dua pengurus itu akan membuat perhitungan ketika Rodgers bakal mengetuai Leicester City berkunjung ke Aston Villa untuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
“Saya cuba belajar sebanyak mungkin daripada Brendan (Rodgers). Saya fikir beliau adalah seorang pengurus yang baik dan sentiasa bercakap serta berurusan dengan pemain.
“Ramai pemain yang cemerlang di Liverpool sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia adalah hasil daripada Brendan. Semua orang tahu beliau sudah melakukan tugas dengan baik.
“Beliau menerapkan permainan menyerang dengan baik sehingga berjaya membawa pasukan ke saingan Liga Juara-Juara.
“Jadi beliau boleh berasa bangga dengan tugas yang sudah dilakukannya,” jelas Gerrard.
Gerrard berjaya memulakan tugasnya sebagai pengurus Villa dalam saingan EPL dengan langkah cemerlang selepas mencatat dua kemenangan sebelum kalah tipis 1-2 kepada juara bertahan, Manchester City baru-baru ini.
Sebagai rekod, ini bukanlah kali pertama Gerrard bakal membuat perhitungan dengan Rodgers kerana pernah berdepan bekas gurunya itu ketika bergelar pengurus Rangers menentang Celtic dalam saingan Liga Scotland. – AGENSI