JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket yang dikenali sebagai Sindiket Janggut yang aktif melakukan aktiviti penyeludupan migran sejak April lalu akhirnya tumpas apabila 12 ahlinya diberkas antara 1 hingga 2 Disember lalu.
Dalam operasi khas yang bermula pukul 5.30 petang dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan 10 warganegara Indonesia iaitu tujuh lelaki dan wanita selain dua warga tempatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada mereka yang berusia antara 22 hingga 50 tahun di tiga lokasi berbeza di Johor Bahru dan Kulai dekat sini.
Menurutnya, mereka terdiri daripada tiga tekong darat, pengangkut (3), penjaga penampungan (1) serta migran (5).
“Sindiket Janggut ini aktif melakukan aktiviti penyeludupan migran di kawasan Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi sejak April lalu sehingga kini.
“Sindiket ini diketuai oleh Joni Aripin @ Janggut. Turut dibantu dua orang kanan dikenali sebagai Muhidin atau Muhit dan Gern atau Galang. Mereka merukan warganegara Indonesia,”katanya pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
Ayob Khan berkata, sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi (MO) dengan mendapatkan bantuan dan kerjasama lain-lain ejen atau pengurus yang mengatur pergerakan migran.
Migran akan berhubung dengan ejen sebelum perjalanan mereka diuruskan sindiket ini termasuk transporter akan mengambil atau menghantar mereka (migran) dari atau ke lokasi pendaratan sebelum ditempatkan di penampungan sementara dalam tempoh tertentu.
Migran akan dihantar ke lokasi yang dikehendaki atau ke stesen-stesen bas berdekatan sebelum migran bergerak sendiri ke lokasi yang dituju.
“Bayaran dikenakan untuk memasuki Malaysia adalah RM1,300 dan bayaran ini akan dijelaskan terlebih dahulu sebelum menaiki bot sama ada di Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia. Tidak termasuk kos pengangkutan (transporter).
“Manakala mereka yang ingin keluar dari negara ini perlu membayar sekitar RM1,500 termasuk semua caj,”katanya.
Kesemua tangkapan ini ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 dan Seksyen 26(A) Akta Anti Pemerdangan Manusia dan Anti Pengeludupan Migran (Atipsom) 2007.-K! ONLINE