PETALING JAYA – Gara-gara impak lakonan cemerlangnya dalam drama berjudul Cukup Derita Itu, pelakon Farhan Asri terharu kerana benar-benar menjadi igauan peminat.
Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, bekas pemenang tempat kedua Pencarian Hero Remaja 2017 itu berkata dia menerima banyak mesej daripada peminat dan mengakui terhibur setiap kali membaca ‘luahan’ perasaan yang ditinggalkan penonton kepadanya.
“Salah satu mesej yang menarik perhatian saya ialah, apabila ada seorang individu memberitahu bahawa dia termimpikan saya selepas menonton drama Cukup Derita itu.
“Terhibur saya membaca komen-komen yang ditulis penonton,” kata Farhan yang membawakan watak sebagai Amirul dalam drama tersebut.
Kata Farhan lagi, dia sebenarnya sangat berterima kasih kepada penerbit, Siti Rosmizah dan pengarah, Along Kamaludin kerana memberikan peluang kepadanya untuk berlakon dalam drama berkenaan.
Menurut Farhan, dia tidak menyangka apabila lakonannya dalam drama itu disedari penonton meskipun hanya melakonkan watak pembantu.
“Alhamdulillah saya tak sangka ada juga yang nampak saya dalam drama ini. Kalau nak bandingkan watak saya kecil saja tapi saya berusaha nak jayakan watak Amirul sebab karakternya yang mencabar,” katanya.
Sekadar informasi, Farhan sebelum ini pernah berkongsi rasa hati apabila mengakui dirinya selama ini sukar untuk mendapat tawaran berlakon walaupun sudah hampir empat tahun bertapak dalam industri.
Ujar pelakon berusia 24 tahun itu, keadaan semakin membimbangkan selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga membataskan aktiviti seninya. – K! ONLINE