CANTIK, bijak dan berdikari. Itulah perkataan yang sesuai bagi menggambarkan keperibadian gadis pilihan Pesona Ahad pada minggu ini.Biarpun baru berusia 21 tahun, anak kelahiran Taiping, Perak bernama Ana Farzana Sharin ini sudah mengorak langkah untuk mengikut jejak langkah ibu dan kakaknya menjadi usahawan.
Status sebagai pelajar sepenuh masa dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media, Universiti Malaya di Kuala Lumpur tidak menjadi penghalang bagi gadis tersebut untuk menceburi bidang tersebut yang sudah sebati dengan dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
Meskipun sibuk dengan rutin sebagai pelajar, anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini tetap ringan tulang membantu ibunya menguruskan perniagaan katering dan kedai kek milik kakak sulungnya.
Gadis yang mesra disapa Ana nekad membantu ibunya menyusun strategi untuk menaikkan semula perniagaan katering yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Akui Ana, bukan mudah untuk membahagikan masa antara belajar dan membantu keluarga menguruskan perniagaan, namun tetap dilakukan demi yang tersayang.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama Ana yang berkongsi serba sedikit mengenai dirinya dan minatnya dalam bidang perniagaan.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan penglibatan Ana dalam bidang perniagaan?
Ana: Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berniaga bermula sebagai dropship dan stokis untuk beberapa produk kecantikan terkemuka. Saya juga membantu mama menguruskan perniagaan katering dan kedai kek milik kakak. Dari situ, saya mula belajar memasak dan membuat kek serta biskut. Saya juga menjual makanan Jepun iaitu Mentai Rice dan pencuci mulut, Smores. Kedua-dua makanan ini pernah trending di laman Twitter.
Apa yang membuatkan Ana nekad berniaga?
Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan ibu tidak dapat beroperasi seperti biasa. Saya sedih melihat ibu runsing kerana masalah kewangan disebabkan komitmen bulanan yang tinggi. Kehidupan kami sekeluarga agak mewah sebelum ini (PKP), namun berubah sekelip mata. Kami terpaksa berjimat-cermat untuk membeli barangan dapur. Jadi saya nekad berniaga sebagai jalan keluar untuk mencari pendapatan sendiri bagi membantu keluarga.
Siapa idola Ana dalam bidang perniagaan?
Sudah tentu mama dan kakak saya. Saya melihat sendiri kesungguhan mereka membangunkan perniagaan masing-masing sehingga ke tahap sekarang walaupun berdepan ujian getir lebih-lebih lagi semasa musim pandemik Covid-19.
Pencapaian yang paling membanggakan dalam hidup?
Saya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya juga bangga apabila hasil titik peluh berniaga digunakan untuk membiayai pengajian sekurang-kurang dapat meringankan beban keluarga.
Selain berniaga, apakah bidang lain yang diceburi Ana?
Saya ada terlibat dalam bidang peragaan sebelum ini, tetapi sekarang terpaksa menolak tawaran kerana bimbang tidak dapat membahagikan masa untuk belajar dan perniagaan.
Apakah impian masa depan Ana?
Semestinya mahu berjaya dalam pelajaran. Keutamaan saya ketika ini adalah pelajaran tetapi pada masa sama mencari ruang untuk menjalankan perniagaan. Saya berhasrat untuk mengembangkan perniagaan sebaik tamat pengajian kelak.
Bagaimana Ana bahagi masa berniaga dan belajar?
Saya membuka tempahan makanan sekali atau dua kali seminggu, manakala waktu lain diperuntukkan dengan menghadiri kelas secara dalam talian dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Adakah masih berniaga kerana Ana sudah kembali ke kampus sekarang?
Saya membuka tempahan pada hujung minggu untuk mereka yang tinggal di sekitar Taiping dan bercadang mengembangkan makanan itu di Kuala Lumpur selepas ini.