PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan bahagian timur Semenanjung dan pesisir pantai barat Sabah dan Sarawak hari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, orang ramai diminta berwaspada bagi aktiviti laut ekoran amaran cuaca merbahaya yang dijangka berlaku dalam tempoh enam hari sehingga Sabtu.
“Amaran angin kencang sehingga 50 kilometer (km) sejam dengan ketinggian ombak mencecah 4.5 meter bagi kategori pertama dikeluarkan di negeri Kelatan, Sarawak Utara, Sabah Barat, Labuan dan Samui.
“Bagi kategori kedua, aktiviti nelayan, perkapalan serta perkhidmatan feri dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga susulan amaran cuaca buruk melibatkan kawasan di Johor Timur, Pahang, Terengganu, Sarawak Barat, Tenggara Samui, Timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan,” katanya.
Sementara itu, amaran angin kencang melebihi 60 km sejam dengan ketinggian ombak melepasi 4.5 meter turut dikeluarkan bagi kawasan di Tioman, Condore, Bunguran dan Barat Reef North bagi tempoh tiga hari hingga Rabu.
Dalam pada itu, penduduk di pesisiran pantai diminta supaya terus waspada dan berhati-hati sepanjang minggu. -K!ONLINE