fbpx

20 pesalah trafik ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara 20 pesalah trafik yang ditahan menerusi Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di sekitar ibu kota malam tadi. - IHSAN JSPT

KUALA LUMPUR – Seramai 20 individu ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, semalam.

Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal pada pukul 9 malam itu bermula pada Jumaat lalu dengan kekuatan 86 pegawai serta anggota polis telah dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan 20 pesalah trafik menerusi operasi tersebut termasuk enam orang lelaki kerana menunggang dalam keadaan berbahaya, melakukan aksi zig-zag, roket dan superman.

“Kesemua suspek berusia antara 15 hingga 21 tahun itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Sementara itu, tiga orang penunggang motosikal berusia 17 hingga 46 tahun ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3) APJ 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sarifudin, tangkapan terakhir melibatkan 11 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 53 tahun ditahan di bawah Seksyen 45A APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 298 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita 17 buah motosikal kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI