KOTA BHARU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijalankan di Kompleks Kota Darulnaim di sini terpaksa ditangguhkan berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat positif Covid-19.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim dan ADUN Tendong, Rozi Muhamad disahkan positif Covid-19 pagi tadi.
Menurutnya, selain itu, ADUN Kemuning, Mohd. Roseli Ismail didapati menjadi kontak rapat kepada anaknya yang dijangkiti Covid-19.
“Sidang DUN yang bermula pada Khamis lalu sepatutnya berakhir Selasa ini. Disebabkan oleh penularan jangkitan Covid-19, persidangan terpaksa ditangguhkan mengikut keperluan dan ketiga-tiga ADUN akan menjalani tempoh kuarantin.
“Kita khuatir mungkin akan ada yang positif sekiranya persidangan dilanjutkan. Oleh itu, tindakan awal perlu diambil,” katanya ketika ditemui pemberita Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Abdullah, semua ADUN diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum persidangan dan mendapati kesemua mereka negatif.
ehubungan dengan itu, persidangan DUN perlu ditangguh kepada tarikh dan masa yang ditetapkan kelak.
“Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob telah membentangkan Belanjawan Kelantan 2022 pada Khamis lalu dan telah dipersetujui semua ADUN. Jadi, tiada perkara yang berbangkit dan ia lulus tanpa dibahaskan.
“Mengikut Perkara 29 peraturan dewan, speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, Ahmad pada persidangan DUN Khamis lalu membentangkan Belanjawan Kelantan 2022 dengan defisit sebanyak RM90.49 juta berbanding RM66.02 juta tahun lalu dan ia lulus tanpa dibahaskan.
Belanjawan Kelantan 2022 bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera itu menunjukkan peningkatan desifit sebanyak RM24.47 juta. -K! ONLINE.