AKSI konsisten ditampilkan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bali, Indonesia memastikan dia berjaya menempah slot ke peringkat separuh akhir.
Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B semalam, pemain berusia 23 tahun itu menewaskan wakil India, K. Srikanth menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-14 untuk muncul sebagai juara kumpulan.
Zii Jia yang sudah pulih daripada kecederaan belakang dialami sebelum ini menampilkan aksi dominan sepanjang perlawanan untuk melakar kemenangan bersih dalam saingan peringkat kumpulan.
Pemenang kejohanan Seluruh England (All England) itu mengakui gembira apabila dapat mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan ketika berdepan pemain Perancis, Toma Junior Popov kelmarin.
“Perlawanan hari ini (semalam) memang saya berikan sepenuh fokus untuk elak daripada melakukan kesilapan mudah, selain mengawal emosi sepanjang perlawanan untuk bermain lebih tenang.
“Saya gembira kerana ia membuahkan hasil dan dapat membantu dapatkan kemenangan ke atas Srikanth. Seperti yang saya cakap, pertemuan dengan Srikanth sentiasa menjadi aksi sukar,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Memandangkan sasaran awal untuk melangkah ke separuh akhir sudah dicapai, kini pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mula mengintai peluang bagi memastikan untuk mara ke perlawanan akhir.
“Memang sasaran saya adalah untuk layak ke separuh akhir dan sekarang ia sudah direalisasikan. Oleh itu, ia beri keyakinan kepada saya menjelang aksi separuh akhir nanti.
“Justeru, sasaran seterusnya adalah untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir. Saya harap boleh tampilkan aksi sama seperti ini bagi memastikan layak ke pentas final,” ujarnya.