PETALING JAYA – Ibu bapa perlu peka dengan perkembangan anak-anak terutamanya melibatkan aktiviti menulis huruf dengan betul.
Secara normal, anak-anak yang berusia lingkungan empat hingga enam tahun sering menulis huruf secara terbalik kerana mereka masih dalam proses mengenal suku kata dan huruf.
Menerusi perkongsian Mahfuzah Zainol, di laman Facebook mengenai lima tanda masalah visual persepsi kanak-kanak pra sekolah dalam kemahiran menulis.
“Ia adalah fenomena biasa untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Namun harus diperbetulkan oleh ibu bapa dan guru.
“Jika mereka masih menulis terbalik sehingga umur lapan ke sembilan tahun dan seterusnya. Mungkin guru boleh buat senarai semak Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD) atau Instrumen Pengesanan Murid Bermasalah Dalam Pembelajaran (IPMBDP),” katanya.
Menurutnya, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak berjumpa dengan doktor Pakar Perubatan Keluarga untuk tujuan diagnosis dan intervensi.
Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen berterima kasih kepada wanita itu kerana berkongsi ilmu yang sangat berguna.
“Terima kasih puan atas perkongsian. Dua tahun saya berjuang untuk mengajar anak yang tidak mengenali huruf dan tidak pandai menulis dengan betul,” kata Ashley Jean Ea.
“Anak saya juga mengalami masalah menulis secara terbalik, doakan saya kuat dan tabah mengajar anak dan terima kasih kongsikan panduan yang sangat saya perlukan ketika ini,” kata Yazidazleyana. – K! ONLINE