KLANG – Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki melakukan ugutan jenayah dan memikat seorang wanita yang merupakan isteri orang, kelmarin.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 30-an itu dilakukan pukul 3 petang di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penangkapan suspek susulan laporan polis daripada seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan suami kepada wanita tersebut.
Katanya, berdasarkan hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mangsa 30-an itu sering dipukul dan diugut sendiri oleh suaminya.
“Pengadu sebelum ini pernah dipenjara lapan bulan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggunakan senjata tajam.
“Akibat sering dipukul menyebabkan wanita berkenaan melarikan diri dan meminta bantuan daripada kedua-dua suspek tersebut bagi memberikan perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
S. Vijaya memberitahu, pihaknya telah memanggil kesemua saksi awam yang melihat kejadian itu bagi memberikan keterangan dalam membantu siasatan. – K! ONLINE
.