PETALING JAYA – “Tiada apa yang perlu dirisaukan. Saya okey dan baik-baik sahaja.
“Ini pun saya dah ke set untuk sambung ‘shooting’ (penggambaran) selepas doktor bagi izin keluar dari hospital semalam.”
Demikian respons pelakon terkenal Shaheizy Sam kepada Kosmo! Online berkenaan status kesihatannya selepas dimasukkan ke sebuah hospital semalam.
Menurut Shaheizy, dia mengalami keletihan melampau dan rasa hampir dan sukar untuk bernafas ketika berada di set penggambaran semalam.
“Doktor kata saya keletihan. Oksigen dalam badan berkurangan. Itu pasal saya rasa susah nak bernafas dan dada jadi sempit.
“Jadi doktor masukkan drip sebotol untuk bantu tambah tenaga. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang merisaukan. Keluar saja dari hospital, terus saya sambung penggambaran macam biasa,” katanya.
Tambah Shaheizy atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 38, terdahulu dia juga pernah dikejarkan ke hospital akibat masalah sama ketika sedang menjalani penggambaran bagi filem Polis Evo 2 beberapa tahun lalu.
“Ini bukan pertama kali saya kena macam ini. Dulu masa tengah ‘shooting’ Polis Evo 2 pun saya lalui benda sama,” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi hantaran dalam Instagram, suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu memuat naik foto memaparkan dirinya sedang berbaring di atas katil di sebuah hospital diiringi dua staf perubatan.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis meninggalkan komen dengan bertanya status kesihatannya selain mendoakan urusan kesihatannya dipermudahkan. – K! ONLINE