PETALING JAYA – Tular perkongsian sekeping gambar mengenai darah berwarna hijau di media sosial sehingga membuatkan orang ramai berasa teruja semalam.
Menerusi perkongsian gambar oleh Derma Darah Terengganu Kite di Facebook, mereka berkongsi maklumat bagaimana darah berwarna merah bertukar menjadi hijau.
“Peningkatan ceruloplasmin adalah faktor utama plasma darah menjadi warna hijau. Ia boleh berlaku kerana makan pil perancang keluarga (seperti yang terjadi kepada penderma ini) dan penyakit sendi (seperti rheumatoid arthritis dan ankylosing spondylitis).
“Selain itu, ubat yang mengandungi sulfonamides juga boleh menyebabkan plasma menjadi hijau akibat penghasilan sulfhaemoglobin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambahnya, darah berwarna hijau tidak akan menyebabkan bahaya kepada individu yang menerima darah ini malah dianggap lebih baik daripada darah berwarna kuning.
“Kajian menunjukkan plasma hijau ini lebih baik daripada plasma biasa berwarna kuning kerana ianya mengandungi faktor koagulasi yang lebih tinggi, yang mana lebih baik dalam membantu menghentikan perdarahan.
“Namun secara praktisnya kami tidak berikan plasma hijau kepada pesakit kerana para doktor mungkin akan mengesyaki jangkitan kuman pseudomonas (kesan jangkitan berwarna kehijauan) apabila melihat warna plasma tersebut,” ujarnya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial berasa teruja apabila melihat darah berwarna hijau dan orang ramai turut melontarkan beberapa soalan mengenai darah tersebut.
“Pertama kali tengok darah warna hijau muda, kalau ada maklumat mohon kongsi,” kata Chrystal Ryan.
“Hebat darah manusia warna emas ada, kuning ada, hijau pun ada. Memang terbaik ciptaan Allah SWT,” kata Al Baihaqie.
“Kadang-kadang memakan herba tradisional pun (boleh menyebabkan) plasma jadi kehijauan. Mungkin sebab sulfonamides juga (perubahan warna),” kata Anang Zain. – K! ONLINE.