PETALING JAYA – Pelakon Zahirah Macwilson menyeru para pemain industri perfileman tanah air agar keluar dari zon selesa masing-masing.
Kata Zahirah atau nama sebenarnya, Nur Zahirah Macwilson Zainol, sudah tiba masanya untuk industri terus bergerak ke hadapan dan tidak terlalu bergantung dengan cerita-cerita klise yang kurang memberi faedah kepada perkembangan industri sinematik tempatan.
“Saya rasa, kita perlu keluar dari zon selesa. Sekarang ini, kita selalu sangat buat projek drama mahupun filem yang diadaptasi daripada novel dan cerita ‘cintan-cintun’.
“Rasanya, penonton kita dah matang dan bijak nak terima kandungan yang bersifat lebih ‘deep’ atau membuka minda.
“Tengok sahaja bagaimana industri lakonan Korea Selatan berkembang satu dunia sekarang. Memang ada penonton untuk buat cerita yang membuka minda cuma, entahlah, mungkin apa yang kurang sekarang dari aspek kreativiti dan idea di sini (Malaysia),” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Zahirah ditemui pada sesi fotografi khas bersempena dengan Festival Filem Malaysia ke-31 yang bakal berlangsung 10 Disember ini.
Mengulas tentang budaya mengambil ‘instafamous’ dalam projek drama yang menjadi kebuntuan ramai orang industri, Zahirah, 26, berpendapat, itu tidak menjadi masalah seandainya individu terlibat sedar akan tanggungjawabnya sebagai pelakon.
“Bagi saya, kalau mereka minat (berlakon) dan boleh menghasilkan kerja yang bagus, tiada masalah.
“Bagaimanapun, kalau mereka terlibat dalam dunia lakonan semata-mata kerana penyiar atau penerbit rasa naskhah akan dijamin laris, itu mungkin satu perkara yang sedikit mengganggu.
“Ramai kawan-kawan pelakon yang tiada kerja sebab mereka tak ramai pengikut dalam media sosial. Produser tak nak ambil mereka berlakon.
“Budaya seperti itu yang tidak adil. Perlu diingat, bahawa apa pun yang terjadi, kualiti akan tetap menjadi satu perihal yang dihargai berbanding populariti.
“Seseorang itu boleh popular hari ini, tapi esok lusa orang akan lupa dan selepas itu, orang lain pula yang akan popular,” ujarnya.
Terdahulu, ramai anak seni tempatan menzahirkan keluhan dan kekecewaan apabila penerbit atau penyiar drama televisyen tempatan mula meletakkan syarat supaya memiliki satu juta pengikut Instagram sebelum diterima berlakon dalam projek drama televisyen. – K! ONLINE