SEBERANG PERAI – “Tunggu 6 Disember nanti (hari penamaan calon). Insya-Allah (Pas) akan bertanding.”
Itu jawapan ringkas Naik Presiden Pas, Senator Idris Ahmad ketika diajukan soalan berhubung calon yang akan diletakkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Wakaf Short Stay Unit di Hospital Kepala Batas di sini.
Wad sementara yang mengambil masa pembinaan selama tiga bulan dan menelan belanja RM100,000 itu boleh menempatkan 15 pesakit Covid-19 pada satu masa.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man Selasa lalu memaklumkan parti itu akan meletakkan calon kurang daripada 11 kerusi, manakala Penolong Setiausaha Pas Sarawak, Syamsul Bahrie Mohamad mengesahkan parti itu akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PRN Sarawak akan berlangsung pada 18 Disember ini, manakala penamaan calon akan diadakan pada 6 Disember. – K! ONLINE