KUCHING- Barisan Nasional (BN) dilihat mencipta sejarah tersendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak apabila memutuskan untuk tidak bertanding pada edisi kali ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya, pihaknya membuat keputusan untuk memberi sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana menyifatkan kedua-dua parti mempunyai hubungan yang baik.
“Kami datang membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memberitahu bahawa untuk pertama kalinya BN tidak akan menyertai PRN Sarawak dan memberikan sokongan moral kepada GPS.
“Jadi, tidak akan ada logo BN di Sarawak dan kami tidak benarkan mana-mana calon menggunakan lambang kami (dacing). Kalau ada yang gunakan logo BN, kami akan bawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam sidang akhbar di sini tadi.
Semalam, GPS mengumumkan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Sarawak dengan meletakkan calon-calon terpilih daripada empat parti komponen.
Pada PRN Sarawak lalu, gabungan empat parti tempatan terbabit yang masih bernaung di bawah BN ketika itu memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, gabungan parti tersebut mengambil keputusan untuk keluar daripada BN dan menubuhkan GPS pada 2018. -K! ONLINE>