fbpx

Perjalanan terakhir pemandu lori sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Muhammad Hafiz yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Simpang Pulai-Blue Valley, Ipoh kelmarin.

IPOH – Hasrat pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, untuk berhenti kerja menjadi kenya­taan dalam keadaan yang pilu apabila dia maut dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 27.10, Jalan Simpang Pulai – Blue Valley di sini kelmarin.

Nor Shahida Saidin, 31, berkata, suaminya sebelum ini me­ngadu letih dan sakit badan ke­rana terpaksa berulang-alik dari Kuala Kurau ke Cameron Highlands setiap hari.

Katanya, hasrat itu diluahkan suaminya ketika mereka dalam perjalanan pulang dari kampung di Tanjung Piandang, Kerian untuk berbincang mengenai perkahwinan adiknya.

“Dia kata dua tiga hari ini macam sakit badan, letih, rasa macam nak berhenti kerja sekarang dan memandu treler pula.

“Kerjanya sekarang perlu ­ulang-alik naik ke Cameron Highlands dan selepas itu hantar barang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta Alor Setar, Kedah.

“Tetapi dia kata kalau pandu tre­ler nanti terpaksa berjauhan dengan anak-anak sebab hanya balik rumah seminggu sekali,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

NOR SHAHIDA ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun semalam.

Menurut Nor Shahida, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik sebelum kejadian itu berlaku.

Katanya, sebelum keluar be­kerja, suaminya sempat menciumnya dan dua anak mereka, Nurhannan Fitrysha, 3, dan Muhammad Hafiy Fahri, tujuh bulan.

“Suami juga berpesan, dia akan kembali ke rumah selepas kerja selesai,” ujarnya sebak.

Berita berkaitan: [KEMASKINI] tanah runtuh: Mayat pemandu Alphard, lori sayur tertimbus dikeluarkan

Nor Shahida berkata, rakan suaminya ada memberitahu bahawa lori yang terbabit kejadian tanah runtuh adalah membabitkan suaminya, namun dia tidak mempercayainya.

“Tidak lama kemudian, maji­kan suami beritahu lori yang dipandu Muhammad Hafiz terlibat kemalangan, saya terdiam seketika,” ujarnya.

Berita berkaitan: ]Kemaskini] tanah runtuh: Mayat pemandu lori dibawa keluar, bomba ambil masa 10 jam

Dia kemudian bergegas ke lokasi bersama ahli keluarga lain untuk melihat kejadian itu.

“Saya sampai sekarang tidak boleh tidur dan sering memikirkan macam mana keadaan arwah suami ketika kejadian,” katanya.

Muhammad Hafiz meninggalkan empat anak termasuk dua daripadanya perkahwinan terdahulu.

Kejadian tanah runtuh tersebut turut mengakibatkan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, maut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI