fbpx

Malaysia lepasi sasaran RM10 bilion di Expo 2020 Dubai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai.

PUTRAJAYA – Malaysia catat pencapaian membanggakan apabila berjaya melepasi sasaran asal pelaburan RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara sebaliknya berjaya menjana lebih RM33.9 bilion menerusi sejumlah 43 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat, serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa.

“Pencapaian dalam tempoh lapan minggu pertama penyertaan di expo berkenaan itu telah disumbang menerusi usahasama rentas kementerian melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi dan syarikat swasta.

“Penyertaan rentas kementerian ini telah diselaraskan menerusi sub-tema ‘Pavilion Malaysia’ iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem startup yang mampan, inovasi teknologi hijau, daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan perkembangan positif itu, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam expo berkenaan akan menghasilkan impak yang lebih luas termasuk membuktikan bahawa syarikat dan teknologi tempatan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Momentum ini dijangka berterusan untuk 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri,” ujar beliau.

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan ‘Energising Sustainability’ telah merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga semalam.

Lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia adalah termasuk menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom, serta Dewan Perniagaan Sharja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI