MUKAH – Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan rasionalisasi Rural Air Services (RAS) bagi menambah baik perkhidmatan udara luar bandar oleh MASwings.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rasionalisasi berkenaan bakal melibatkan kajian semula objektif RAS serta implikasi kewangan yang terlibat.
“Kajian semula juga itu turut meliputi laluan dan kekerapan penerbangan RAS, kadar tambang yang dikenakan, pesawat yang diguna pakai dan mekanisme pemberian subsidi kepada pengguna perkhidmatan ini dari masa ke semasa.
“Ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar pada tahap yang terbaik,” katanya semasa berucap merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah di sini tadi.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ismail Sabri berkata, MASwings mula menyediakan perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah bermula tahun 2008 melalui Perjanjian RAS yang ditandatangani pada 3 Julai 2008.
“Bermula tahun 2019, satu perjanjian baharu iaitu Public Service Obligation for Rural Air Services Agreement (PSO for RAS) telah ditandatangani antara kerajaan dengan syarikat penerbangan MASwings bagi meneruskan RAS sehingga 2024.
“Berdasarkan perjanjian itu, MASwings menyediakan perkhidmatan bagi 40 laluan di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking,” jelasnya.
Bagi laluan Mukah sendiri, MASwings menyediakan empat perkhidmatan penerbangan menggunakan pesawat twin otter iaitu laluan Kuching – Mukah dengan kekerapan 28 penerbangan seminggu.
Miri – Mukah pula dengan kekerapan tujuh penerbangan seminggu, Sibu – Mukah dengan tiga penerbangan seminggu dan Bintulu – Mukah dengan dua penerbangan seminggu.
Sementara itu, bercakap mengenai lapangan terbang baharu itu, Ismail Sabri berkata, ia boleh mengendalikan lebih banyak penumpang sekali gus mengukuhkan kedudukan Mukah sebagai penyumbang pembangunan ekonomi Sarawak.
“Lapangan terbang baharu dilengkapi kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding Twin Otter,” jelasnya. -K! ONLINE