PETALING JAYA – “Amaran tak ditujukan kepada sesiapa.”
Demikian penegasan penyanyi Siti Nordiana berhubung penerbitan lagu baharunya berjudul Amaran yang didakwa segelintir pihak sebagai satu peringatan kepada seseorang.
Kata penyanyi yang mesra disapa Nana itu, dendangan bersama Bunga Isme tersebut sudah dihasilkan sejak setahun lalu lengkap dengan tajuk membuatkan dia tidak menyangka akan dijadikan polemik sesetengah pihak.
“Sejujurnya saya ingin menyatakan lagu ini tiada kena mengena dengan orang lain kerana sudah disiapkan setahun lalu, begitu juga tajuknya. Judul single ini sudah diputuskan ketika itu.
“Saya sedar ada yang mengandaikan lagu ini seperti menyindir pihak tertentu sebaik saja saya buat entri pertama mempromosikan Amaran dalam Instagram, pertengahan bulan lalu.
“Saya terkejut sebab ramai bagi komen. Tak kurang juga buat spekulasi sedangkan lagu ini lebih menekankan mesej nasihat terutama berkaitan kekuatan dan penguasaan wanita.
“Sebagai penyanyi, saya juga melaksanakan tanggungjawab menggerakkan promosi dengan berkongsi bahan yang diberikan label, Warner Music Malaysia dalam laman sosial tanpa terfikir boleh mencetuskan persoalan.
“Apa pun ini bukan gimik, cuma kebetulan selain hanya persepsi sesetengah pihak. Saya tak boleh kawal pemahaman orang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton video muzik Amaran.
Amaran mendapat sentuhan komposer, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat malah mereka juga turut terbabit dalam penulisan kata bersama penyanyi rap yang diundang Nana untuk lagu tersebut, Bunga.
Single duet berkisarkan pemerkasaan wanita berkenaan menggabungkan genre hip hop, trap dan electronic dance music (EDM) yang dilancarkan menerusi platform penstriman digital terpilih sejak 26 November lalu.
Sementara itu, ditebak perasaannya berhubung persepsi orang, penyanyi berusia 37 tahun itu hanya menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada rencah kerjaya seni.
“Kami pun tak jangka apa-apa, cuma hanya teruskan segala perancangan. Takkan nak tukar tajuk lagu ini yang sudah ditetapkan sejak setahun lalu semata-mata disebabkan tafsiran orang.
“Saya pun ada baca komen. Nak cakap apa kan? Tapi bagi yang belum dengar atau tonton video muzik Amaran, boleh saja ikutinya sebelum buat apa-apa kesimpulan,” tambah ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu.
Diminta pula berkongsi kehidupannya selepas kes mahkamah membabitkan lima individu lain menjadi tular, Nana akui semakin fokus terhadap kerjaya seni.
“Saya hanya mahu teruskan hidup macam biasa sebab buat masa ini kalau boleh saya tak nak ambil tahu apa yang berlaku. Apa yang penting, saya nak fokus terhadap kerjaya.
“Cuma kita pun tak boleh nak ulas banyak. Sekarang semua proses yang diperlukan di mahkamah saya ikut sahaja. Biarlah semuanya kita serahkan saja kepada mahkamah untuk tentukan,” katanya.
Berhubung pemilihan Bunga sebagai rakan duet, Nana tidak mampu menyembunyikan rasa kagum terhadap bakat dimiliki penyanyi berusia 21 tahun itu.
Dedahnya, jauh di sudut hati memang dia mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dan disebabkan kekangan pandemik serta isu sampingan, hasrat tersebut hanya dapat direalisasikan selepas setahun.
“Bunga cukup berbakat besar. Saya sebenarnya suka tengok Bunga menyanyi rap malah nampak sangat comel. Melihat kebolehannya yang unik dan istimewa, terhasillah kolaborasi ini.
“Ikutkan setahun lalu ketika perancangan projek ini dicetuskan, belum ramai buat duet dan ‘rapping’ sesama penyanyi wanita. Tapi tak mengapa hanya dapat direalisasikan sekarang.
“Kami melihat setiap perkara atau perancangan yang ditetapkan untuk setiap orang mempunyai hikmah tersendiri,” kongsi Nana lagi yang kini terbabit dengan penggambaran sebuah drama bersama Alif Satar. – K! ONLINE