PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan kononnya wujud aktiviti menjual lesen memandu secara haram didalangi anggotanya.
JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, JPJ memandang serius dakwaan itu dan akan memanggil seorang ‘influencer’ media sosial dikenali Azrol Affandi Sobry bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius kenyataan dibuat Azrol Affandi yang mendedahkan pembabitan anggota JPJ dalam isu lesen terbang.
“Menerusi perkongsian di media sosial, individu itu mendakwa terdapat Pegawai JPJ yang terlibat secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram.
“Individu itu mendakwa Pegawai JPJ menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di Institut Memandu (IM),” katanya.
Katanya, JPJ mengambil serius akan kenyataan tersebut dan siasatan segera akan dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
JPJ juga ingin menegaskan bahawa jabatan ini tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang melibatkan warga kerja JPJ sekiranya dakwaan itu benar. – K! ONLINE.