JAKARTA – Gunung berapi Semeru yang terletak dalam wilayah Jawa Timur meletus hari ini dengan mengeluarkan debu gunung berapi sehingga menyebabkan penduduk setempat bertempiaran lari menyelamatkan diri, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Setakat petang tadi, gunung tertinggi di Pulau Jawa itu masih mengeluarkan debu tebal sehingga menyebabkan beberapa kawasan lereng gunung seperti daerah Pronojiwo dan Candipuro diselaputi hujan abu.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua penduduk yang tinggal berdekatan telah diminta meninggalkan rumah masing-masing,” kata Ketua Kampung Sumbermujur, Syafii.
Sementara itu, seorang penduduk setempat, Giri berkata, lahar gunung berapi mula dilihat sejak semalam iaitu kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) yang turut disertai dengan bunyi seperti guruh kuat.
“Amat menakutkan. Sejak malam semalam saya mula terdengar bunyi seperti guruh yang kuat,” ujarnya.
Kali terakhir Gunung Semeru memuntahkan lahar sejauh 1 kilometer adalah pada 27 Ogos lalu. – Agensi