KUALA LUMPUR – Pelakon, Emelda Rosemila sanggup mencukur rambut sehingga menampakkan kulit kepala demi kepuasan membawakan watak wanita lasak dalam filem aksi berjudul Abnormal.
Katanya, dia sendiri yang mengusulkan kepada pengarah untuk menggayakan fesyen rambut ‘kru cut’ bagi menyerlahkan lagi karakter yang dipegangnya dalam filem pertama terbitan Remy Ishak, REMi Films tersebut.
“Saya sudah lebih 20 tahun dalam arena seni lakonan membuatkan saya suka mencabar diri, meneroka, menambah baik dan mahu meninggalkan kenangan dalam setiap penerbitan yang saya buat.
“Sebenarnya saya pun baru habis menjalani sesi penggambaran filem membawa watak perompak. Tentu saja saya hendak ‘upgrade’ diri daripada melakonkan watak yang sudah menjadi kebiasaan.
“Macam dalam Abnormal, saya puas melihat hasil pembentukan karakter bernama Speed. Malah pengarah serta semua di set turut teruja. Saya dapat membayangkan penampilan fizikal serta karakter Speed sebaik diajukan tawaran.
“Saya juga biasa berambut pendek, jadi kenapa tidak tampilkan saja gaya seakan botak. Suami pun bagi sokongan selain cakap lepas ini tak payah lagi rambut panjang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Dukun Diva baru-baru ini.
Berkongsi pula pembabitan dalam drama premium Astro Originals yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan ‘anti-heroes’, Emelda memegang watak usahawan bernama Datuk DD.
Katanya, dia teruja merebut peluang membintangi drama genre komedi itu bukan hanya didorong keistimewaan plot cerita mahupun pasukan produksi yang dianggap ‘dream team’s, malah sebagai bonus dia sekali lagi diberi kesempatan berpasangan dengan suaminya, Adlin Aman Ramlie.
Adlin menggalas watak usahawan produk yang turut menyerlah dari segi karakteristik dan penampilan.
Dia ditonjolkan sebagai kawan Datuk DD yang akhirnya menjadi seteru disebabkan persaingan perniagaan.
Selain pasangan suami isteri tersebut, drama lapan episod yang bakal disiarkan bermula 6 Disember ini menampilkan Nadia Aqilah, Eyka Farhana, Tony Eusoff, Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon dan Aloy Paradoks.
Menyentuh karakter Datuk DD yang disifatkan gila-gila dan sukar dijangka, Emelda menganggap tidak semudah dijangka memandangkan penampilan berkenaan dalam setiap babak sukar dijangka.
Katanya, buat julung kali dia berpeluang terbabit dalam penerbitan yang sarat elemen muzikal apatah lagi dipadankan dengan suaminya sendiri dalam menghidupkan lagi karakter dua figura unik itu.
“Ini kali ketiga kami bergandingan dalam produksi besar. Terbaharu menerusi Abnormal yang menjalani penggambaran pada 9 hingga 16 November lalu.
“Paling seronok, kami banyak babak berdua terutama menyanyi dan menari, jadi dalam Dukun Diva ini kami bekerjasama untuk kembangkan watak masing-masing selain banyak berlatih menyanyi, menari dan rap di rumah.
“Dalam drama ini ada ‘rapping battle’ yang Adlin tulis sendiri. Memang susah untuk rap sebab tak biasa. Kena marah ‘step’ tak betul pun selalu dan dari segi lakonan kami mencari perincian bagi watak yang dibawa.
“Bagi saya sendiri, mencungkil perwatakan Datuk DD yang mempunyai bipolar, saya bagi lebih supaya watak tersebut tidak mendatar. Memenatkan tapi apabila habis ‘shooting’ kami semua ‘enjoy’ dan puas,” kongsinya lagi.
Dukun Diva yang bakal disiarkan menerusi Astro Citra adalah garapan penerima trofi Skrip Terbaik di Festival Filem Bridge of Arts (IMFF) di Rusia 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015, Alfie Palermo. – K! ONLINE