JAKARTA – Atas alasan mahu menunaikan permintaan terakhir anaknya, bapa kepada Vanessa Angel nekad mahu menggali dan memindahkan kubur anaknya bersebelahan pusara isterinya.
Bapa pelakon itu, Doddy Sudrajat membuat keputusan tersebut memandangkan hasrat Vanessa untuk dimakamkan bersama arwah ibunya tidak kesampaian kerana dia meninggal dunia bersama suami, Febri Andriansyah.
“Daripada pihak keluarga besar Vanessa, semua bersetuju atas keputusan memindahkan makamnya.
“Keluarga arwah mamanya juga mengizinkan. Saya sudah menelefon adiknya (untuk meminta keizinan). Mereka sokonga saya, setuju Vanessa dipindahkan ke satu liang lahad dengan mamanya,” dedah Doddy.
Meskipun sedar tindakannya akan menuai kritikan daripada rakan artis dan warganet, namun dia nekad dengan keputusannya semata-mata untuk memenuhi wasiat arwah Vanessa.
Hasrat tersebut diutarakan sendiri oleh pelakon itu sewaktu menziarahi pusara ibunya suatu ketika dahulu.
“Semasa dulu Vanessa masih ada, kami pernah ziarah ke pusara mamanya. Vanessa bilang kepada saya bolehkah kalau kami ada makam keluarga bersama-sama.
“Ini kan masalah hak dan ada pesanan (daripada Vanessa). Jadi wasiat itu harus dijalankan,” ujarnya lagi.
Sebenarnya perkara tersebut mahu dilakukan Doddy sejurus kematian tragis melibatkan anak dan menantunya dalam satu kemalangan jalan raya pada 4 November lalu.
Bagaimanapun lelaki itu mengakui, dia mulanya berasa dilemma kerana berlaku perselisihan pendapat dengan besannya iaitu bapa Febri, H. Faisal.
“Waktu itu saya dalam dilemma. Saat itu saya fikir, cubalah nanti dibincangkan. Ada dilemma, sebab keluarga Faisal ingin mereka suami isteri dikuburkan sama-sama.
“Sedangkan di sisi lain, saya ingin makam Vanessa satu liang lahad sama dengan mamanya. Sebab saya ingat dia (Vanessa) pernah berbicara seperti itu,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Vanessa dan suaminya, Febri maut dalam sebuah nahas jalan raya pada 4 November lalu di Tol Jakarta-Surabaya berhampiran kawasan Nganjuk.
Kemalangan tragis tersebut turut mengakibatkan kecederaan kecil kepada tiga penumpang lain termasuk anak mereka, Gala Sky Ardiansyah. – K! ONLINE