MANCHESTER – Prestasi buruk yang dijelmakan kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dilihat sebagai punca utama kekalahan 2-3 kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford awal pagi semalam.
Kekalahan itu cukup perit untuk diterima The Gunners walaupun lawan dari Utara London tersebut pernah kalah kepada United sejak beberapa tahun lepas.
Lebih malang, persembahan longlai Aubameyang sangat membimbangkan selepas penyerang itu mensia-siakan banyak peluang terbaik dan gagal menjaringkan sebarang gol dalam lima perlawanan liga.
Situasi Aubameyang yang bergelut dengan prestasinya juga menjadi antara sebab Arsenal perlu berbelanja besar untuk mendapatkan penyerang baharu sebaik jendela perpindahan dibuka bulan depan.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta kecewa dengan prestasi Aubameyang selain mengakui, seluruh pasukan perlu menyalahkan diri sendiri terhadap kekalahan tersebut.
“Jika kami melepaskan tiga gol di Old Trafford, pasti sukar untuk kami mendapatkan keputusan baik. Saya kecewa dengan semua gol yang dilepaskan hari ini (awal pagi semalam).
“Ketika kami masih berada dalam situasi terkawal, kami memiliki struktur yang lebih baik dan berjaya mencipta peluang. Malangnya, kami gagal mengambil kesempatan untuk ‘membunuh’ perlawanan ini .
“Apabila menjaringkan dua gol di Old Trafford, kami jangka boleh memperoleh sesuatu tetapi akhirnya kami menyesal disebabkan kesilapan sendiri.
Ketumpulan penyudah Aubameyang menyaksikan Arsenal terpaksa mengharapkan Emile Smith Rowe dan Martin Odegaard untuk meledak dua gol dalam aksi itu. – AGENSI