RANTAU PANJANG – Paras air Sungai Golok di sini kembali melepasi paras amaran susulan hujan yang tidak menentu sejak semalam.
Menurut laman web publicinfobanjir.watr.gov.my setakat pukul 11 pagi tadi, air Sungai Golok yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand sudah mencecah paras amaran iaitu 8.31 meter berbanding 5 meter pada paras normal.
Sementara itu, Ketua Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan banjir.
Menurutnya, persiapan awal itu sangat penting bagi memastikan operasi menyelamat dilakukan dengan sebaik mungkin di musim pandemik Covid-19 ketika ini.
“Sebaik sahaja air sudah melepasi paras amaran, anggota bomba sudah diarahkan untuk keluar membuat pemantauan untuk melihat keadaan semasa banjir.
“Rondaan ini bagi memudahkan penugasan menyelamatkan dilakukan apabila banjir berlaku nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, paras air Sungai Kelantan di Kuala Krai berada pada paras berjaga-jaga iaitu 20.32 meter berbading normal 17 meter.-K! ONLINE
habis.