PUTRAJAYA – “Seorang tokoh mirip seorang datuk dan ‘gergasi’ yang berjiwa lembut.
Itu tanggapan pertama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika bertemu bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein secara rahsia dalam lawatannya ke negara bergolak itu pada tahun 2000.
Kisah pertemuan itu adalah antara yang dikongsi Siti Hasmah menerusi buku hasil nukilannya bertajuk ‘Speaking of Mass Destruction…A Journey To Iraq as Seen by Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Buku berbentuk ‘Coffee Table’ setebal 170 halaman itu dilancarkan hari ini selepas 21 tahun lawatannya ke negara itu.
Mengulas pertemuan rahsianya bersama Saddam, Siti Hasmah berkata, pertemuan itu diaturkan secara rahsia atas permintaan Saddam sendiri.
“Pertemuan itu boleh dikatakan tiada dalam aturcara rasmi sepanjang lawatan saya ke negara itu.
“Saya diarahkan suami (Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri ketika itu) untuk melawat Iraq bagi mendapat gambaran lebih jelas situasi sebenar pergolakan di negara itu.
“Sebaik diminta pergi, saya langsung tidak berasa takut untuk pergi ke sana. Dalam buku ini, anda boleh merasai sendiri pengalaman yang saya lihat terutama kemusnahan sebuah negara termasuk penderitaan dialami kanak-kanak dan wanita di negara itu,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran buku itu, hari ini.
Katanya, buku berkenaan menceritakan dengan jelas pengalamannya ketika mengetuai 10 delegasi wanita sepanjang tiga hari ke negara bergolak itu.
Siti Hasmah berkata, buku tersebut mengupas kesan kemusnahan ekoran sekatan yang dikenakan terhadap Iraq termasuk penderitaan dialami rakyat di negara itu
Buku berkenaan kini dicetak 1,000 naskah bagi edisi pertama dan dijual pada harga RM120.
Hasil jualan buku akan disalurkan kepada organisasi amal yang mengendalikan kanak-kanak di negara-negara konflik. – K! ONLINE.