fbpx

Selesaikan isu penerokaan haram menjelang 1 Jun 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat MTN Ke-79 secara maya semalam.

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri di seluruh Semenanjung Malaysia perlu melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan mencari penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 yang telah bersidang secara maya semalam.

“Pada mesyuarat MTN kali ini, terdapat empat kertas yang telah dibentangkan yang menyentuh mengenai beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dan perlombongan.

“MTN kali ini telah bersetuju dengan Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia dan supaya semua kerajaan negeri melaksanakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, MTN Ke-79 telah bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari 2021.

“MTN juga bersetuju supaya RUU ini dibentangkan pada sesi pertama Parlimen tahun 2022 dan dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing.

“Mesyuarat turut bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun dan MTN Ke-79 turut mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat,” ujar beliau.

Jelas beliau, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, Kerajaan Negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu berunding dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memastikan syarikat yang akan dilantik mematuhi syarat dalam perjanjian konsesi serta perundangan yang berkuatkuasa.

“MTN Ke-79 juga telah mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang
dipengerusikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 16 Februari 2021.

“Keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mineral perlu dibawa untuk
persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan keputusan tersebut dipersetujui dan disahkan khususnya yang melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI