fbpx

Sektor peruncitan kembali aktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUSAHA butik kini menerima tempahan yang banyak untuk majlis perkahwinan.

PETALING JAYA – Sektor peruncitan kini semakin berkembang maju dan jualan telah meningkat lebih daripada 50 peratus selepas kerajaan melonggarkan sekatan pelbagai aktiviti ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19.

Rata-rata peniaga menyifatkan, kebenaran untuk kembali aktif beroperasi memberi ruang kepada banyak pihak agar dapat bangkit semula selepas hampir dua tahun terkesan.

Seorang usahawan tudung Rosnizan Md. Nawi, 40, berkata, sasaran nilai jualan yang ditetapkan pada tahun ini dijangka dicapai sekiranya kerajaan berjaya mengekalkan momentum sedia ada menerusi pembukaan pelbagai sektor lain.

Dia berkeyakinan terhadap peningkatan sektor peruncitan sekali gus menyumbang kepada keseluruhan ekonomi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berdasarkan kuasa beli pengguna termasuk dalam kalangan pelanggannya yang kini semakin bertambah.

“Saya dapat rasakan pelanggan yang terdiri daripada golongan wanita kini rancak membeli secara berhemah untuk keperluan mereka selepas pelbagai sektor dibuka. Orang ramai sudah boleh keluar dan mahu kelihatan bergaya jika dibandingkan sebelum ini.

“Rata-ratanya, mereka mahu membeli pakaian dan tudung untuk dipakai sewaktu ke pejabat, malah ada juga yang berhias cantik untuk menghadiri majlis kenduri.

“Alhamdulilah perniagaan kami semakin baik kini,”katanya ketika ditemui di outlet perniagaannya baru-baru ini.

Rosnizan meletakkan harapan kepada kerajaan agar dapat memastikan sektor ekonomi dapat terus berkembang walaupun krisis kesihatan belum selesai lagi.

Selain itu, pemilik butik Mezra Global Hall Sdn. Bhd. Zarinah Mohideen, 45 berkata, dia kini ‘tidak menang tangan’ selepas menerima banyak tempahan bagi pelanggan yang mahu melaksanakan majlis perkahwinan.

“Pada masa sekarang, saya mudah mendapat tempahan setiap minggu, tetapi jika dahulu, susah untuk saya mendapatkan walapun seorang pelanggan sebulan.

“Perniagaan saya kini naik sehingga 70 peratus. Ada juga pelanggan yang mahu berbelanja lebih selepas kerajaan memberi kebenaran untuk mengadakan majlis perkahwinan.

“Inilah yang dikatakan rezeki yang sudah pastinya boleh dikongsikan dengan pekerja.

“Saya yakin kerajaan boleh kekalkan prestasi mereka pada masa akan datang,” jelasnya.

Selain itu, Zarinah turut memberi harapan kepada kerajaan agar terus mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan kos sara hidup rakyat tidak terbeban terutama dengan peningkatan harga barangan pada masa sekarang. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI