SELEPAS mengharungi musim suram dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini, penyerang skuad bola sepak kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid memiliki misi tersendiri menjelang Piala AFF Suzuki 2021 di Singapura.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui sedar dengan prestasi kurang memberangsangkan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini, namun dia sedia untuk kembali mendapatkan prestasi terbaiknya pada Piala AFF.
Jelas Safawi, dia percaya, situasi sukar yang dihadapi ketika ini akan menemui penamatnya jika mampu menampilkan aksi terbaik bagi membantu Harimau Malaya menjulang trofi kejuaraan.
“Bagi saya, ia adalah lumrah dalam bola sepak apabila pemain berdepan aksi turun naik. Mungkin 2021 adalah (musim) buruk bagi saya, namun siapa tahu pada tahun depan menjadi rezeki saya.
“Tidak mustahil saya juga boleh ‘meletup’ pada Piala AFF kali ini. Saya harap keluarga serta seluruh rakyat Malaysia doakan agar saya kembali mendapat sentuhan sebenar di sana nanti,” kata bekas pemain Portimonense itu.
Pemain berusia 24 tahun itu juga sedia untuk bersaing dengan rakan sepasukan bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama selain menjelaskan, semangatnya berkobar-kobar ketika ini.
Ujar Safawi lagi, dia tidak kisah sekiranya ada pemain lain yang lebih menyerlah berbanding dirinya pada kejohanan itu kerana menganggap situasi tersebut bagus untuk setiap pemain bola.
“Keadaan seperti ini bagus kerana sebagai pemain bola, tidak selalunya kita berada di atas. Saya rasa seperti mula-mula menjadi pemain bola, sentiasa bersemangat untuk buktikan kemampuan.
“Saya juga tidak ada masalah sekiranya pemain-pemain lain lebih menyerlah di sana nanti kerana apa yang paling penting adalah pasukan. Menerusi gabungan pemain naturalisasi, saya harap kita mampu jadi juara tahun ini,” tambahnya.