fbpx

Rasisme wajar dirembat kencang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PAGI kelmarin ‘orang Kuala Lumpur’ memenuhi media sosial. Manakan tidak, Faris Arteta dari Kedai Lalat, Kota Bharu serta Hafiz Solskjaer dari Jalan Rani Estate, Arau pun mengaku orang Kuala Lumpur.

Ini semua berpunca kemenangan Kuala Lumpur City (KL City) FC yang berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara bertahan 2-0 untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia ke-100 tahun.

Bukan main sedap lagi masing-masing hasut maya (troll). Semua mahu kata diri asal dari Kuala Lumpur.

Demikian impaknya apabila pasukan lain berjaya membenam ego juara Liga Super lapan tahun berturut-turut bermula tahun 2014.

Tidak ketinggalan usikan-usikan nakal Presiden Kedah Darul Aman (KDA) FC, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam beberapa siri terhadap JDT sebelum ini.

Sebaik wisel 90 minit ditiupkan, sudah ada netizen menantikan Menteri Besar Kedah itu memulangkan paku buah keras.

Drama bola sepak ini tidak habis hanya dalam separuh masa pertama dan kedua perlawanan.

Kemeriahan Piala Malaysia di dalam dan luar padang ini menunjukkan kemunculan semula bola sepak domestik, secara selamat dalam tempoh pandemik Covid-19.

Ini berikutan kerajaan membenarkan penyokong ke stadium pada 1 Oktober lalu yang jumlah kehadirannya mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara.

Kelab-kelab yang bermain di Liga Perdana Inggeris pun mengalami kerugian RM5.39 bilion bagi musim 2019/2020 akibat pandemik Covid-19.

Namun, pada musim ini bola sepak di liga bola sepak paling kaya di dunia itu telah kembali dengan penuh rancak.

Bola sepak adalah permainan yang dimainkan dengan emosi. Namun, usikan nakal sebegitu indah jika dimainkan dalam konteks sporting. Kadang merah juga telinga jika pasukan kena troll.

Cuma penulis kesal dengan kejadian menimpa pemain tengah KL City FC, Kenny Pallraj yang terpalit isu rasisme.

Budaya hooligan kita tiru, namun budaya yang menolak perkauman tidak pula jadi ikutan.

Sukan indah melangkaui agama, bangsa dan warna kulit ini tidak sepatutnya dicemari dengan insiden perkauman.

Hari ini, untung orang yang bekerja di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Dapat cuti sehari rentetan kemenangan KL City FC. Kami jiran di Selangor tetap kena kerja.

Cuma penulis tertanya-tanya, orang yang bersifat perkauman ini ada ke yang tumpang bercuti hari ini atas kejayaan pasukan Kenny Pallraj? -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI