PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa tiada sebarang perarakan, atau aktiviti berkumpul dibenarkan di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) Ke-12, Isnin ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon juga tidak dibenarkan untuk hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) pada hari tersebut.
“Hanya calon, pencadang calon serta penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC manakala penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan untuk hadir ke pusat berkenaan.
“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga adalah tidak dibenarkan di mana-mana lokasi sepanjang hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ikmalrudin, kertas penamaan calon boleh dikemukakan pada hari tersebut bermula pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 PPC yang berkenaan oleh calon, pencadang atau penyokong.
“Lengkapkan dan buat semakan awal ke atas borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon selain calon turut disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
“Resit pembayaran tersebut juga hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,”ujar beliau.
Tambah beliau, calon yang mewakili mana-mana parti politik perlu mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili dan hendaklah mengemukakannya semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.
“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyeru kepada semua calon serta parti=parti politik terlibat agar mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” tegas beliau. – K! ONLINE