KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM12,035,334.43 daripada 18 syarikat korporat dalam Majlis Zakat Korporat 2021 di Masjid Negara di sini semalam.
Penyerahan zakat itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Antara 18 syarikat yang menunaikan zakat perniagaan mereka ialah Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. (RM2,437,779), Pharmaniaga Berhad (RM1,980,000), Zurich General Takaful Malaysia Berhad (RM1,208,144.66), CIMB Islamic Bank Berhad (RM1,000,000) dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (RM971,262)
Setakat November 2021, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat sebanyak RM632.2 juta berbanding tahun 2020 berjumlah RM584.3 juta yang mencatatkan peningkatan sebanyak 8 peratus.
Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat di PPZ-MAIWP atas keprihatinan untuk bersama menggalas tanggungjawab dalam membantu asnaf dan mereka yang memerlukan.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua umat Islam untuk segera menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2021 bagi mendapat rebat cukai pendapatan di samping membantu lebih ramai asnaf untuk bangkit dalam mengharungi situasi sukar Covid-19 ini,” ujarnya. -K! ONLINE