HULU TERENGGANU – Seorang pekerja kedai makan maut manakala dua rakannya cedera parah selepas kereta Proton Saga dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, mangsa, Muhammad Aziq Adam Abdul Raqib, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, dua rakan mangsa iaitu Muhammad Shafiq Md. Shadip, 20, dan Muhammad Amir Naim Anuar, 20, yang turut menaiki kereta itu pula cedera parah.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga rakan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Felda Bukit Bading, Ajil di sini dari sebuah kedai makan di Binjai Rendah, Marang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga dipandu Muhammad Shafiq dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terpusing semula ke arah pekan Ajil.
“Kenderaan itu kemudiannya terbabas lalu merempuh sebatang pokok yang berada di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, impak kemalangan itu menyebabkan Muhammad Aziq Adam yang berada tempat duduk penumpang hadapan meninggal di lokasi kejadian.
Tambah beliau,ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam kereta mereka yang remuk teruk sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba bertugas.
“Mayat Muhammad Aziq Adam telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.
“Dua rakannya yang cedera parah pula dikejarkan di unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – K! ONLINE.