fbpx

Lama terperangkap, Aman Aziz temui jalan rungkai kekeliruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI memantapkan bakat dalam diri, Aman merangka jadual untuk menyertai kelas-kelas lakonan dan vokal tidak lama lagi.

MESKIPUN terpaksa menempuh laluan berliku untuk memahat nama di kedudukan selesa, situasi yang dilalui tidak memudarkan semangat penyanyi dan pelakon, Aman Aziz meneruskan cita-cita dalam dunia hiburan.

Bagi Aman, 28, semua dugaan menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang memperkasakan namanya.

Selagi masih ada permintaan, anak kelahiran Melaka itu tidak akan sesekali meletakkan noktah kerana cintanya terhadap kerjaya seni masih mendalam.

Hampir dua tahun menyepi, naib juara Akademi Fantasia musim ke-11 (AF11) yang pernah popular dengan lagu Sulit itu kini tampil dengan single terbaharu, Tunggu Lama.

Aman berkata, idea penghasilan lagu tersebut tercetus ketika ‘terperangkap’ di Melaka, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

“Saya buntu apabila beberapa projek dibatalkan dan aktiviti kerjaya seni pula terhenti. Tanpa persediaan rapi, saya agak bergelut meneruskan hidup.

“Banyak perkara yang bermain dalam fikiran, apatah lagi kedudukan sebagai penyanyi masih belum kukuh.

“Saya tertanya-tanya, apakah saya dapat kembali bangkit meneruskan langkah dalam bidang ini. Ketika saya keliru dalam mencari haluan hidup, pengurus banyak memberikan input.

“Dia memberi cadangan supaya saya cuba dan belajar menghasilkan melodi. Kami banyak berbincang dalam mencari hala tuju baharu dalam kerjaya muzik saya. Bertitik tolak dari situ, akhirnya Tunggu Lama direalisasikan,” kata Aman.

Memandangkan dirinya masih amatur dari sudut penciptaan lagu, Aman mendapatkan khidmat Amzar Razqa bagi mengolah dan mencantikkan lagi struktur single yang menyuntik nuansa muzik Latin dan K-pop tersebut.

Aman mengakui, banyak belajar perkara baharu dalam penghasilan single kelimanya, terutama dari sudut penghasilan melodi. Malah, proses di sebalik tabir menuntut kesabaran yang sangat tinggi.

“Paling mencabar pastinya untuk mencari idea dalam penghasilan melodi kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan.

“Apatah lagi, single itu dianggap umpama penentu masa depan saya dalam industri muzik.

“Tunjuk ajar daripada mereka yang jauh lebih berpengalaman sangat penting. Tanpa kerjasama secara berkumpulan dan tolak ansur, sukar untuk merealisasikan penghasilan Tunggu Lama.

“Apabila bekerja secara berpasukan, setiap kami mempunyai cara dan pandangan yang berbeza. Di sini pentingnya untuk mencari titik persamaan supaya lagu yang dihasilkan memberi kepuasan kepada semua yang terlibat,” katanya.

AMAN AZIZ meletakkan banyak harapan terhadap single baharunya, Tunggu Lama.

Impak

Tunggu Lama yang sudah berlegar dalam platform Joox bermula 18 Oktober lalu merupakan cetusan bersama Amsyar Razqa, Saballa, Acu Panakorn dan Aman Aziz, manakala lirik pula dikerjakan oleh Amzar & Amsyar Razqa, Acu Panakorn dan Aman sendiri.

Bercerita mengenai penghasilan melodi Tunggu Lama, Aman banyak membuat rujukan dengan mendengar lagu nyanyian idol dan penyanyi solo dari Korea Selatan seperti Chen EXO, kumpulan NCT serta mendengar OST K-drama popular.

“Dari situ, saya cuba menghasilkan melodi untuk disesuaikan dengan pasaran muzik di negara ini. Saya turut mendengar lagu tempatan yang mendapat tempat di hati peminat, terutama remaja.

“Lagu ini juga banyak menceritakan pengalaman sendiri, terutama cabaran bertahan dalam industri muzik ketika dunia masih bertarung dengan pandemik. Cuma, liriknya diubah sedikit ke arah tema cinta untuk mendekati peminat muda,” katanya.

Tunggu Lama juga memberikan Aman semangat baharu untuk bangkit mengejar cita-cita, selagi bakat diterima.

“Saya bertekad untuk bangkit meneruskan perjuangan didorong oleh keinginan serta keyakinan. Jika kita berusaha, pasti akan ada sinarnya.

“Dalam hal ini, saya berterima kasih kerana mereka yang terdekat yang sentiasa percaya saya mampu melakukannya dan tidak jemu memberikan dorongan untuk melihat saya berjaya,” katanya.

Mengakui berpuas hati dengan usahanya, Aman kini menyusun pelbagai strategi untuk memastikan Tunggu Lama mampu mengulangi pencapaian Sulit.

Selain promosi dalam media cetak dan elektronik, Aman juga memberikan fokus terhadap siri promosi menerusi media baharu, selain platform penstriman untuk memastikan Tunggu Lama menjangkau kelompok pendengar lebih besar.

“Populariti lagu Sulit terlalu kuat sehingga memberi impak terhadap dua single yang saya hasilkan selepas itu. Banyak faktor yang menyebabkan kemunculan saya selepas Sulit tidak menambat hati peminat seperti kurang promosi, selain masalah dalaman,” katanya.

Sebagai tanda terima kasih terhadap peminat, Aman berjanji untuk lebih fokus terhadap kerjaya nyanyian dengan menghasilkan lebih banyak lagu baharu, termasuk kerjasama dengan komposer lain.

“Saya juga akan menyertai kelas lakonan dan nyanyian untuk memantapkan lagi bakat. Dengan kemunculan single ini, saya berharap dapat berpeluang meneroka industri hiburan dengan lebih agresif lagi.

“Saya bersedia untuk kembali berlakon, malah mengimpikan peluang beraksi dalam drama berepisod kerana saya ingin mencari cabaran baharu serta kepuasan dir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI