fbpx

Harga makanan luar bandar ‘cekik darah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INILAH makanan yang dibeli Mohamad berharga RM10 di sebuah kedai makan di Jerantut semalam.

JERANTUT – Isu makanan mahal bukan sahaja membelenggu pengguna bandar tetapi juga di luar bandar sejak kerajaan memberi kelonggaran dine-in.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pelanggan yang ditemui memberitahu, harga makanan naik sehingga sekali ganda de­ngan purata seorang akan membayar paling sedikit RM10.

Kenaikan harga makanan itu ternyata menekan pelanggan luar bandar yang terpaksa ber­belanja lebih pada ketika ini.

Seorang pengguna, Mohamad Kautsar, 40, berkata, dia terkejut apabila nasi putih beserta ikan pelaling goreng, sayur kangkung dan masak lemak pucuk ubi kayu dijual pada harga RM10 di sebuah kedai makan berbanding RM5 sebelum ini.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), makanan yang sama dijual pada harga RM5, namun hari ini (semalam) saya terkejut apabila harganya naik sekali ganda.

“Saya hanya minta diletakkan sedikit sayur kangkung dan pucuk ibu masak lemak serta ikan bersaiz kecil dan tidak sangka harga mencecah RM10.

“Mahal melampau, cekik darah, tak kesian langsung kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sehubungan itu, Mohamad mendesak pihak berkuasa me­lakukan pemantauan berterusan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga bagi mendapat keuntungan berlebihan.

“Kangkung dan pucuk ubi ba­nyak ditanam dan begitu mudah diperoleh dengan harga seikat antara RM2 hingga RM3 yang dijual di pasar atau pekan sehari.

“Adakah peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga tidak masuk akal selepas beberapa harga sayur antaranya kailan, sawi naik harga sejak minggu lepas?” soalnya.

Luahan sama disuarakan Norhafizan Zulkifli, 35, yang mendakwa, kenaikan harga makanan sememangnya berlaku di seluruh negeri apabila purata makanan yang dimakan dikedai pada masa ini adalah kira-kira RM10.

“Baru-baru ini, saya beli nasi putih dengan ayam goreng serta sup kaki ayam di sebuah restoran di Jengka dekat sini dengan harga RM11.

“Memang harga nasi bungkus pada masa ini meningkat dan saya berpandangan baik berkemungkinan peniaga berkenaan membeli ayam dengan harga yang mahal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Pengguna Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, orang ramai perlu membuat ­aduan kenaikan harga barang makanan bagi memudahkan siasatan dijalankan pihaknya.

Katanya, peniaga boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati menaikkan harga bagi mendapatkan keuntungan berlebihan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI