fbpx

Antara hilang nyawa atau kejar trip banyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

TAK sayang nyawa ke? Nak kejar triplah itu.”

Itu antara reaksi penulis apabila melihat aksi penunggang motosikal terutamanya kumpulan p-hailing (rider) apabila dilihat melanggar lampu isyarat merah.

Kejadian seumpama ini bukan sahaja dialami penulis sebenar­nya, ia mungkin juga dialami oleh kebanyakan pengguna jalan raya apabila berada di lampu isyarat terutamanya pada waktu siang.

Seperti kita tahu malang itu tidak berbau, namun sikap segelintir penunggang terutamanya rider ini seolah-olah menunjukkan bahawa nyawa mereka sangat ‘murah’ sehingga sanggup mempertaruhkannya demi mengejar trip.

Walaupun banyak kes kemalangan melibatkan golongan ini dilaporkan, namun kejadian tersebut seperti sudah menjadi kebiasaan dan tidak sedikit pun mendatangkan ‘gerun’ kepada mereka.

Jika diamati sikap yang ditunjukkan golongan ini, boleh dirumuskan bahawa bagi mereka trip lebih penting daripada nyawa sendiri.

Ironinya, bukan tiada penguatkuasaan dilakukan ke atas mereka yang suka melakukan kesalahan ini, tetapi sikap penunggang itu sendiri yang suka ‘mencabuli’ undang-undang te­lah menjadikan penguatkuasaan dilihat semakin ‘lemah’.

Umpamanya Ops Merah khusus kepada penunggang p-hailing yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 8 Oktober sehingga 6 November lalu telah mengeluarkan 2,710 kompaun melibatkan penunggang p-hailing.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan paling tinggi membabitkan penunggang p-hailing adalah melanggar isyarat lampu merah dengan 902 kesa­lahan, diikuti tidak mempunyai lesen memandu (602) dan tiada perlindungan insurans (256).

“Statistik JPJ mendapati, 60 peratus kematian dalam kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal.

“Operasi ini juga sebagai maklum balas terhadap aduan orang ramai berhubung kesalahan dilakukan pemandu dan penunggang motosikal terutama per­khidmatan p-hailing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, perbuatan itu dilakukan kerana penunggang p-hailing mengejar masa untuk tiba ke lokasi pelanggan sebelum mengambil pesanan seterusnya.

“Kita mendapat aduan keba­nyakannya membabitkan langgar lampu isyarat. Mereka ini mengejar trip semasa hantar makanan, jadi langgar lampu merah untuk cepat sampai.

“Kesalahan tersebut boleh me­nyebabkan penunggang p-hailing ini dikenakan saman sehingga RM300,” ujarnya.

Menerusi statistik ini, jelas menunjukkan bahawa penunggang p-hailing ini ramai yang terlibat dengan kesalahan undang-undang jalan raya dan terdedah kepada risiko kemalangan.

Lebih malang lagi, kebanyakan penunggang ini tidak dilindungi oleh apa-apa insuran termasuklah daripada Pertubuhan Kesela­matan Sosial (Perkeso).

Justeru, nasihat penulis kepada semua rider supaya berhati-hatilah ketika menunggang motosikal kerana bukan sahaja nyawa anda berharga, malah mungkin juga ada ramai yang bergantung harap dengan anda.

Sebelum melakukan sebarang tindakan berbahaya, fikirlah ke­selamatan diri, keluarga dan orang lain. Jangan disebabkan anda, ramai orang yang akan menangis di kemudian hari. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI