PETALING JAYA – “Tujuh hari sebelum meninggal dunia dia seolah-olah dapat merasakan dia akan ‘pergi’ dalam waktu terdekat, dia ampunkan saya dan saya dapat keredaan sebagai isteri.”
Demikian perkongsian seorang wanita yang baru kehilangan suaminya dipercayai akibat kanser yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi satu minit 49 saat yang dikongsi @Sakinah4779 di TikTok, wanita itu tidak dapat menahan tangisan apabila suaminya mengatakan dia sudah tidak lama lagi di dunia ini.
Ketika kejadian, lelaki itu turut meminta minuman susu dan air zam-zam bagi membasahkan tekak dan wanita itu juga sempat menjalankan tanggunjawab terakhirnya sebagai isteri.
“Petang itu dia sudah membuang air besar sebelum merebahkan badan untuk tidur. Itulah kali terakhir saya berbakti kepadanya,” katanya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial mendoakan agar arwah suami wanita itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman selain berkongsi kisah sedih pengalaman masing-masing.
“Saya baru kehilangan suami secara mengejut, semasa bercakap di telefon, hubungi semula tak dapat, rupa-rupanya arwah suami saya menjadi mangsa kepala air di Yan, Kedah,” kata @Aleyaaqilah20.
“Allahuakbar, dia seakan tahu dia hendak pergi, dia bersihkan diri dan bersiap-siap supaya memudahkan urusan jenazahnya. Pasti hebat amalan semasa hayatnya,” jelas @Syieramelyna.
Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 2.3 juta tontonan dan 149,200 ribu tanda suka di TikTok. – K! ONLINE