PUTRAJAYA – Kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang akan diadakan pada 18 Disember ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PRN Sarawak kelak hanya akan melibatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya terkini yang telah dikemas kini sehingga 2 November lalu.
“Keputusan ini adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.
“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada desakan daripada mana-mana pihak dalam isu ini malah Sarawak semenangnya sudah bersedia untuk menerima pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, Daftar Pemilih Pilihan Raya tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan
pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang Ke-11 pada 3 November lalu selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan bahawa pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan semalam dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini. – K! ONLINE