LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa barisan pemainnya untuk menampilkan aksi lebih agresif menjelang pertemuan menentang Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi esok.
The Gunners berada pada rentak terbaik ketika ini untuk berkunjung ke Old Trafford selepas menewaskan Newcastle United 2-0 di Stadium Emirates Sabtu lalu untuk berada di kedudukan kelima liga.
Meskipun dibarisi rata-rata pemain muda, namun pengendali dari Sepanyol itu tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap pasukannya untuk meleburkan ego United yang baru sahaja melantik pengurus baharu, Ralf Rangnick.
“Pada perlawanan menentang Newcastle sebelum ini, kami banyak kehilangan bola dan tidak tersusun sehingga pasukan lawan boleh masuk dengan mudah ke dalam kotak penalti kami.
“Oleh itu, kami perlu bekerja lebih keras ketika bertemu United nanti. Sudah tentu saya mahu pasukan jaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan akan datang,” kata Arteta.
Dalam pada itu, beliau juga tidak pasti sama ada pemain sayap, Bukayo Saka boleh diturunkan atau tidak kerana mengalami kecederaan ketika berdepan Newcastle sebelum ini.
“Bukayo (Saka) masih belum pulih daripada kecederaan otot yang dialami sebelum ini. Kami akan pantau keadaan dia terlebih dahulu sebelum buat keputusan sama ada boleh bermain atau tidak,” ujarnya. – AGENSI