PETALING JAYA – Tidak seperti dua rakannya dalam kumpulan De Fam yang kian mengorak langkah dalam bidang lakonan, penyanyi Sophia Liana mendedahkan dia tidak mahu tergesa-gesa ke arah sama.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap, Sophiatul Liana Mohamed Sobri itu berkata, dia sedang dalam usaha untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan namun pada masa sama, ingin memastikan hadir sekali bersama kualiti.
“Ada tawaran lakonan, jadi jangan terkejut kalau saya akan aktif dalam bidang lakonan. Cuma dalam memastikan mampu memberikan hasil lakonan yang baik saya tidak mahu terlalu tamak. Perlu ada persiapan yang rapi.
“Nyanyian pula memang saya teruskan seperti biasa. Persembahan juga ada, cuma dalam tempoh terdekat ini fokus saya adalah untuk menjayakan Korea Music Festival tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Sophia, 31, memaklumkan, ketika ini, fokus utamanya adalah untuk mempunyai empayar perniagaan. Walaupun menyedari perihal tersebut bukan satu usaha yang mudah namun dia yakin kerja keras adalah faktor utama kejayaan seseorang.
Mengambil peluang memulakan langkah dalam bidang perniagaan dengan menjalinkan kerjasama bersama Nori Malaysia Sdn. Bhd., jelas Sophia, ini adalah permulaan yang baik buat dirinya.
Memilih untuk muncul dengan wangian SophiaShals Aloe Vera Gel, katanya, walaupun jenama ini menggabungkan dia dengan Shalma Ainaa namun dirinya tetap bangga dengan hasil sepanjang setahun produk ini di pasaran.
“Memang menjadi impian saya untuk terbabit dalam bidang perniagaan, jadi apabila diberi peluang oleh pihak Nori Malaysia untuk menghasilkan wangian bersama Shalma, saya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju.
“Bagi saya ini juga adalah langkah awal untuk melangkah lebih jauh. Jika saya berjaya dengan produk SophiaShals bukan sesuatu yang mustahil untuk saya muncul dengan wangian jenama saya sendiri suatu hari nanti,” katanya.
Tidak menolak pemasaran ada cabaran utama produk SophiaShals, Sophia bersyukur untuk mempunyai bantuan daripada pihak Nori Malaysia. Jelasnya, walaupun produknya mendapat sambutan secara atas talian namun peluang untuk memasarkan SophiaShals di beberapa pasaraya AEON terpilih membuka ruang untuk dia memperkukuhkan jenama ini.
“Produk ini sudah setahun di pasaran, jadi sambutan agak baik. Tahun lalu bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan jualan secara atas talian sedikit sebanyak memudahkan pelanggan untuk mendapatkan produk SophiaShals.
“Selepas ini produk SophiaShals juga boleh didapati di lapan AEON di seluruh negara. Mengikut perancangan juga produk kami akan berada di lima lokasi lain antaranya di Pantai Timur,” ujarnya. – K! ONLINE.