PUTRAJAYA – Acara perarakan Piala Malaysia akan dianjurkan di bandar raya esok bagi membolehkan orang ramai melihat lebih dekat piala yang dimenangi oleh Kuala Lumpur (KL City) FC tersebut.
Perkara itu dikongsi sendiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu program bual bicara hari ini, susulan kejayaan KL City menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada Final TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Katanya, beliau dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim telah bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi mendapatkan keizinan cuti tersebut.
“Ini kerana kebanyakan negeri akan cuti peristiwa selepas memenangi pertandingan bola sepak.
“Perdana Menteri kemudian bersetuju Wilayah Persekutuan diisytiharkan cuti pada Jumaat, maka kita akan mengadakan perarakan,” katanya.
Justeru, katanya, perarakan Piala Malaysia edisi ke-100 tahun tersebut akan diadakan esok sempena cuti Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengikut prosedur operasi standard (SOP). – K! ONLINE