PETALING JAYA: Pemenang trofi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 apabila bakal membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 berserta trofi.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid, berkata agihan dana itu dibuat dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dalam tatacara permohonan DKD sektor industri kreatif.
“Finas sebagai penganjur FFM dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bangga dan besar hati dapat bekerjasama menganjurkan majlis pengiktirafan terbesar untuk warga seni ini.
“Bagi penganjuran edisi ke-31, ganjaran DKD bernilai RM500,000 adalah antara pembaharuan yang dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi semangat pembikin filem sekaligus terus menghasilkan karya bermutu selaras matlamat kempen Road To Oscar.
“Ini juga tanda penghargaan kepada pasukan pengkarya yang bersungguh-sungguh menyuntik pembaharuan sehingga mereka berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik,” katanya pada sidang media FFM31 di Hotel Royal Chulan The Curve, semalam.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Malam kemuncak FFM31 dijadualkan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 Disember ini, pukul 9 malam, yang turut dipancarkan secara langsung di TV2.
Akur dengan prosedur operasi standard (SOP) hanya 1,400 tetamu membabitkan calon, wakil filem bertanding, penaja dan jemputan khas yang perlu melalui pemantauan ketat.
Sementara itu, Annuar berkata keputusan menawarkan imbuhan dalam bentuk DKD adalah selepas perbincangannya dengan pihak Finas.
“Saya tanyakan kepada Finas bentuk hadiah yang diberikan dalam penganjuran FFM edisi terdahulu yang menurut mereka, hanya penyerahan trofi tanpa wang ringgit.
“Oleh kerana itu saya minta mereka fikirkan ganjaran paling sesua sebagai penghargaan terhadap pembikin filem dan akhirnya DKD dipilih sebagai hadiah utama,” katanya.
Pada majlis sama, Zakaria mengumumkan 55 filem cereka bertanding merangkumi filem Bahasa Malaysia sebanyak 32 judul; filem Tamil (11 filem), Mandarin (lapan filem) serta masing-masing, dua filem Bahasa Inggeris dan bahasa Iban.
Antaranya Rock 4 : Rockers Never Dai, Ratu Kala Jengking, Sangkar, Pusaka, Suatu Ketika, Wira, Tiada Tajuk, Motif, Bulan & Pria Terhebat, Mimaland, Geran, Wangi, Misteri Delaila, Kron, Roh dan Misi Operasi x.
Naskah lain yang turut bersaing dalam 28 kategori yang dipertandingkan termasuk Upin Upon – Keris Siamang Tunggal, Ejen Ali The Movie, Ada Ada Apa Dengan Dosa serta Misi Operasi X.
Zakaria berkata, fokus FFM31 bukan sekadar meraikan sektor kreatif, sebaliknya menjadi platform satu suara antara kerajaan dengan karyawan filem dan rakyat dalam mendukung kecemerlangan industri.
“Sebagai medan pengiktirafan kepada pencapaian karyawan industri, FFM31 membuktikan manifestasi sinema Malaysia yang berinspirasikan keunikan dan variasi cerita.
“Ini termasuk identiti serta nilai tempatan dengan impak pembikinan dan tontonan sejagat merentas sempadan,” katanya lagi.
Bersempena penganjuran FFM31, beberapa program sisipan berkaitan perfileman dan seni dianjurkan seperti sesi tayangan serta apresiasi filem di beberapa lokasi pawagam termasuk Sabah dan Sarawak.
Finas juga tidak ketinggalan menjayakan program webinar dengan mempelbagaikan pengisian selain disertai panel dari dalam dan luar negara. – K! ONLINE