SHAH ALAM – Kes saman fitnah yang difailkan seorang guru lelaki Pendidikan Jasmani sebuah sekolah menengah terhadap bekas anak murid dan bapanya akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 8 Disember depan bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
Peguam cara, Rasshidi Syed yang mewakili guru, Khairul Nizam Sanuddin, 43, ketika dihubungi berkata, perintah berkenaan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nur Syuhada Abdullah selepas pengurusan kes dilakukan secara dalam talian hari ini.
Khairul Nizam, 43, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Rasshdi, Ema & Yong di Mahkamah Shah Alam pada 26 November lalu, dengan menamakan Nurain Husniza Saiful Nizam,17, dan bapa remaja itu Saiful Nizam Ab. Wahab, 42, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut pernyataan tuntutan yang diperoleh pihak media, plaintif yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA) di sini telah menyentuh sub-topik “Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual” yang terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Plaintif yang telah mengajar selama 21 tahun di sekolah berkenaan menyatakan sepanjang proses pembelajaran itu, kesemua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada Buku Teks Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tingkatan 5.
Plaintif menafikan ada membuat lawak lucah atau lawak berkenaan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJPK tersebut serta tiada galakan kepada perlakuan rogol malah ianya adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman dan pengajaran.
Justeru, plaintif juga memohon satu perintah injuksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan apa jua kenyataan berkenaan plaintif yang berbaur fitnah atau ejen mereka dihalang daripada mengulangi kesemua pernyataan tidak benar itu di mana sahaja dalam apa jua bentuk. -K! ONLINE