fbpx

‘Inkarnasi’ berbaloi Ghostbusters: Afterlife

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ghostbusters: Afterlife boleh disifatkan sebagai sebuah filem bikin semula yang sangat-berbaloi untuk ditonton di pawagam.

KATA orang, ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Hal sama dapat dirasai menerusi francais filem Ghostbusters yang kembali menjengah pawagam global dengan penerbitan naskhah berjudul, Ghostbusters: Afterlife.

Perlambangan kuah dan nasi diberikan kerana anak kepada pengarah asal filem ‘original’ berkenaan, Ivan Reitman iaitu Jason Reitman yang menduduki bangku pengarah untuk sekuel kali ini. Hasil kerjanya langsung tidak menghampakan.

Perihal tersebut dibuktikan dengan skor audiens yang tinggi dalam laman Rotten Tomatoes dengan markah 95 peratus sehingga artikel ini ditulis. Bukan bermakna penulis mudah terpengaruh dengan rating laman kritikan filem, tetapi filem berkenaan memang benar-benar ada aspek berkualiti.

PELAKON cilik menjadi taruhan utama dalam versi baharu jenama filem Ghostbusters dan sangat menghiburkan.

Nostalgia, campak belakang

Ghostbusters merupakan sebuah jenama filem yang sangat dekat dengan jiwa penonton, terutama buat khalayak yang ‘hidup’ lewat era 1980-an.

Justeru, kalau tersilap ‘langkah’ dalam soal terjemahan naratif dan hal penting di layar perak, memang akan menjadi bahan kritikan dalam kalangan penonton sebagaimana yang terjadi kepada filem bernuansakan ‘female-driven reboot’, Ghostbusters: Answer the Call (2006)

Secara peribadi, Ghostbusters: Afterlife yang mula ditayangkan di Malaysia hari ini menepati piawaian dan cita rasa penonton.

Dibarisi para pelakon yang bagus, naratif atau plot cerita tidak ‘meleleh’ dan penting juga, naskhah berkenaan tidak melupakan tanggungjawab paling agung iaitu memberi throwback (campak belakang) terhadap filem asalnya.

Menyentuh soal kualiti atau terjemahan lakonan, ke semua yang terlibat dalam filem berkenaan melunaskan tugas mereka dengan cemerlang.
Kalau tulisan ini mempunyai ruang yang panjang untuk menebarkan pujian kepada kepada semua, penulis tidak mempunyai masalah untuk menyebut satu per satu.

WATAK cikgu sains yang dijayakan pelakon berkarisma, Paul Rudd.

Cucu Egon Spengler

Bagaimanapun, antara yang mencuri tumpuan dalam filem ini adalah karakter Phoebe Spengler lakonan pelakon cilik, Mckenna Grace.

Bijak dan ‘membosankan’ kerana terlalu obses dengan perihal sains dan mistik, Mckenna merupakan satu pilihan tepat untuk watak terbabit memandangkan dirinya cucu kepada Dr. Egon Spengler, pemegang watak asal naskah tersebut.

Selain perihal nostalgia, watak Podcast antara yang berbekas di minda selepas melangkah keluar dari pintu pawagam.

Watak Podcast memberi keceriaan buat penonton dengan kepetahan dan kebijaksanaannya sangat mempesona serta berkarisma. Syabas buat pasukan ‘casting’ untuk projek filem ini.

Umum mengetahui karakter asal Ghostbusters iaitu Peter Venkman, Ray Stantz dan Egon Spengler sangat dekat di hati peminat, jadi tiada apa yang dibazirkan untuk naskhah.

Filem berkenaan penuh nilai sentimental. Babak akhir, selain membuatkan penonton bertepuk tangan, barangkali turut menyebabkan sesiapa yang ‘dekat’ dengan karakter ikonik tersebut menitiskan air mata.

Ghostbusters: Afterlife boleh disifatkan sebagai satu inkarnasi yang sangat-sangat berbaloi untuk ditonton di pawagam. Who ya gonna call? Ghostbusters! Masih terngiang-ngiang!

ANTARA babak lucu dan mencemaskan dalam Ghostbusters: Afterlife.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI