GEORGE TOWN – Industri pelancongan domestik di seluruh negara tetap mendapat sambutan dalam kalangan rakyat walaupun terdapat kebimbangan mengenai varian Covid-19 baharu B.1.1.529 yang kini dinamakan Omicron.
Bagaimanapun, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata, pemain industri pelancongan perlu sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Permintaan untuk pelancongan domestik kita dapati meningkat selepas kebenaran rentas negeri, malah kita tingkatkan promosi pelancongan domestik sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi negara.
“Kita juga dapati minat orang ramai untuk melancong telah berubah di mana pelancong tempatan memilih untuk meneroka lokasi pelancongan yang kurang sesak dan selamat untuk keluarga masing-masing,” katanya selepas melancarkan program My Destination Sabah and Labuan to Penang di sini hari ini.
Menurutnya, Tourism Malaysia melancarkan program itu untuk merangsang semula sektor pelancongan di Sabah, Labuan dan juga Pulau Pinang.
“Jumlah ketibaan pelancong domestik ke Sabah menurun sebanyak 53.1 peratus, dengan jumlah pelancong 10.3 juta, berbanding 2019 yang mencatatkan seramai 22 juta pelancong domestik.
“Jadi program ini bertujuan untuk memberi motivasi dan sokongan kepada operator pelancongan di Sabah dan Labuan bagi merangsang pertumbuhan semula industri pelancongan dan ia juga selaras dengan peralihan Sabah dan Labuan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – K! ONLINE