BARCELONA – Pemain sayap sensasi, Ousmane Dembele nekad untuk meninggalkan Barcelona selepas tidak bersetuju dengan tawaran lanjutan kontrak yang diberikan oleh kelab gergasi La Liga itu yang bakal berakhir pada penghujung musim ini.
Difahamkan, terdapat beberapa pasukan gergasi Eropah sudah merisik khidmat pemain antarabangsa Perancis itu termasuk sedia memberi £17 juta (RM95.1 juta) sebagai bonus buatnya untuk menandatangani kontrak secara percuma.
Ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Dembele menjadi keutamaan No.1 pihak pengurusan dalam memastikan kelibatnya kekal di Stadium Camp Nou untuk jangka panjang.
Cuma, apa yang menjadi isu ketika ini adalah Barcelona gagal memberikan tawaran gaji lumayan seperti yang diharapkan selain Dembele turut dilaporkan sudah bosan dengan kehidupan di Sepanyol.
Beberapa kelab yang sudah mula mencongak strategi dalam usaha mendapatkan khidmat Dembele adalah tiga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, Liverpool dan Newcastle United.
Newcastle yang dianggap sebagai kelab terkaya EPL tidak mempunyai masalah untuk memberi tawaran gaji sebanyak £12.73 juta (RM71.2 juta) setahun.
Sementara itu, Liverpool pula sangat berharap dapat memancing khidmat Dembele seawal Januari depan kerana kehadirannya dapat mengisi kekosongan dua tonggak utama, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang terpaksa beraksi dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika. – AGENSI